Petang ini hujan turun dengan agak lebat. Jam di dinding sudah menunjukkan tepat pukul 4.30 petang. Hanya tinggal dua set invois yang masih belum aku selesaikan. Memasukkan data juga pembetulan harga invois memang menjadi rutinku sepanjang latihan praktikal ini. Aku mesti menyiapkannya dengan kadar segera. Staf-staf yang lain pula sudah lama mengosongkan meja masing-masing sedari tadi lagi. Yang tinggal hanya aku, seorang akauntan berbangsa Melayu dan juga seorang lagi yang berbangsa Cina. Kekunci yang paling akhir telah pun aku ketuk, monitor dihadapanku terus aku matikan. Terkocoh-kocoh aku meninggalkan pejabat petang ini walaupun aku tahu diluar sana hujan masih membasahi.
Usai solat Asar berjemaah di surau pejabat, telefon bimbit segera aku capai mahu menghubungi seseorang. Namun tiada yang menyahut dihujung talian. Lantas aku menyarungkan semula jaket ke tubuhku. Anak pintu ditarik dan aku pun menuruni anak tangga satu per satu dengan harapan hujan sudah pun reda. Tidak sampai beberapa langkah, tersempak pula aku dengan Arep, rakan sepraktikalku disini. Aku agak terkejut, aku fikirkan dia sudah pulang kerna panggilanku tadi yang tidak berjawab. Rupa-rupanya dia masih disini. Mengemas barang serta berpindah meja katanya. Aku maklum kerna tempat beliau sudah digantikan dengan seorang eksekutif baru pagi tadi.
Niat yang sejak tadi mahu meninggal bangunan pejabat ditangguh lagi. Kami merancang untuk pulang bersama. Sambil menanti Arep mengerjakan kewajibannya, ruang yang ada ini diisi dengan lantunan ayat-ayat cinta dari Ilahi. Walau hanya beberapa kerat darinya, aku memohon agar ia tetap menjadi penyelamatku kelak. Bersimpuh Arep disisiku menandakan dia sudah selesai, susuk tubuhnya yang sedikit gempal nampak jelas ditubir mata. Dengan segera aku menamatkan pembacaanku…
Sebaik menerobos keluar dari blok batu ini, dahi masih berkerut seperti tadi. Awan gelap masih memerah keringatnya melemparkan titis-titis airnya yang mendingin. Bau basah yang terkadang enak dihidu sedikit menenangkan jiwa yang gundah. Masing-masing melampiaskan rasa tidak enak jika keadaan terus begini. Hampir satu jam menunggu, hujan yang sedari tadi membasah mengekalkan konsistensi perahannya. Kami yang tidak punya pilihan, mahu tidak mahu, mesti sahaja meredah takungan dan tempiasnya. Sesungguhnya rancangan Allah itu lebih baik lagi, jika Dia mengehendaki sesuatu itu pasti tidak ada apa yang boleh membataskan. Jika Dia berkehendak supaya kami dibasahi hujan sepanjang perjalanan ini, tunggulah selama mana pun yang bisa… pasti basah jua…
Dan rancanganku untuk berbuka puasa bersama teman yang lain di masjid biru pasti sahaja tergendala. Almaklum sahajalah, bila mana berbuka sendirian di rumah pasti sedikit hilang kemeriahan yang seperti biasa aku lakukan bersama teman-teman serumah yang lain. Usai membantu Arep mengepam tayar ‘superbike’nya di stesen minyak Petronas, aku meminta diri untuk beransur meneruskan perjalananku.
Jalanan yang dirasakan agak licin memfokuskan lagi tungganganku. Selekoh demi selekoh diambil hingga sampai aku dihadapan bulatan Masjid Negeri SAAS. Dengan hati yang berbolak-balik, jenteraku dipacu memasuki perkarangan masjid. Dalam fikiranku, jikalau aku pulang terlebih dahulu pasti tidak sempat meraih juadah berbuka disini. Mantap aku memarkir jentera disisi masjid, dengan muka yang menebal aku me’napau’ apa yang patut. Justeru, kenapa perlu malu? Aku juga berhak keatas ‘mereka’ asal saja aku tidak mengambil yang apa bukan menjadi hak ku. Insya’Allah. Tapi aku tetap besyukur kerna telah dikurniakan ilham untuk singgah sebentar di masjid tersebut, lalu membawa pulang sahaja juadah berbuka yang telah siap diponcot-poncot… Alhamdulillah! Nescaya keberkatan juadah ini jualah yang aku cari… Sekian...:')
sdih gler blog ni..muaz bermonolog...terharu aku
ReplyDeletemmg sedih...tp bukan monolog lg...sbb aku t'lah kongsikan 'monolog'ni dgn ko...menjadikan ia sebuah polilog hehe...aku pun turut terharu...:')
ReplyDelete