Assalamu'alaikum w.b.t, salam satu syawal!
Pagi ini aku tidak bersahur lagi. Sambil menghirup bau basah diluar, dada di dalam terasa dingin. Sesungguhnya gerimis juga embun yang terbias dari dedaunan dan rerumputan pagi ini dirasakan begitu enak sekali. Alhamdulillah, setelah sebulan berpuasa, menahan lapar dahaga, mengawal hawa nafsu, seluruh umat Islam di dunia merayakan hari kemenangan mereka hari ini. Seawal jam enam pagi lagi, aku dan adik-adik sibuk melompat keluar dan masuk ke kamar mandi. Mandi sunat Aidilfitri sesungguhnya.


Masjid Serendah jadi pilihanku untuk bersolat sunat Aidulfitri tahun ini. Boleh dikatakan jarang sekali aku ke sini menunaikan yang fardhu mahupun yang solat. Hatta solat Jumaat itu pun di Masjid Tarbiyatul Akhlak yang letaknya tidak begitu jauh dari rumahku. Yang paling tepat, di Pusat Serenti Serendah. Masjid Serendah ini lokasinya agak jauh keluar dari penempatanku. Mungkin dengan sebab itu aku jarang sekali ke sini. Seperti tahun yang sudah-sudah, masjid ini memang menjadi pilihan ramai orang-orang untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Maklum sahajalah, lebih grand juga selesa. Memangnya surau-surau disekitar juga menganjurkan solat sunat, bahkan di surau berdekatan jua buat julung kalinya mengadakan solat sunat ini. Mungkin sahaja atas dasar kesesakan yang biasanya terjadi pada masjid-masjid justeru dipanjangkan ke surau-surau. Walaupun gerimis tidak kelihatan mahu menghabiskan tangisannya, orang-orang seperti tidak lagi peduli dengannya. Takbir demi takbir saling bersahutan. Terbias wajah-wajah mereka yang putih dan gembira. Solat didirikan dan khutbah dibaringkan...



Selaku memegang jawatan yang sulung, aku memulakan upacara dengan abah serta ibu, diikuti pula dengan adik-adik. Selain beroleh sampul kecil dari abah, pelukan dan ciuman kasih juga aku dapati daripadanya. Begitu juga dengan ibu. Terima kasihku… abah dan ibu. Kalian berdua tetap dalam panjatan setiap doaku insya’Allah. Selagi jasadku masih lagi mampu mengendong hayat ini. Ameen:’) Kemudian kami sefamili bersempat-sempat juga merakam potret-potret lebaran bersama-sama!
No comments:
Post a Comment